Tidak asing lagi, sambutan perayaan mahupun kenduri kahwin dalam sesebuah kekeluargaan mengikut adat istiadat mereka sendiri.
Busana tradisi warisan melayu juga tidak pernah ditinggalkan. Wanita dengan baju kurung, berkain songket serta berselendang. Begitu juga dengan kaum lelaki, menggayakan baju melayu bersama songkok, butang baju, samping dan pelbagai aksesori yang lain.
Fasa membuat persiapan untuk sesebuah majlis terutama pada bahagian busana lelaki agak rumit jika tidak melakukan perancangan awal lebih lebih lagi tentang samping yang akan digandingkan bersama baju melayu.
Bagaimanapun, mereka perlulah meneliti jenis kain, corak dan warna samping mengikut tema yang sudah ditentukan. Keselesaan adalah keutamaan si pemakai.
Gaya pemakaian kain samping berlainan mengikut tempat atau daerah.
Kalau di negeri Johor, kain samping di pakai bersama Baju Melayu dengan leher teluk belanga butang satu yang dinamakan sebagai erti “Berdagang Dalam”.
Manakala kalau di sebelah pantai Barat pula, kain samping di pakai di luar Baju Melayu dengan style berleher cekak musang yang membawa maksud sebagai “Berdagang Luar”.
Namun begitu, masih ada diantara kaum lelaki yang tidak didedahkan tentang penggayaan samping mengikut status iaitu bujang ataupun sudah berkahwin.
Samping yang digayakan bawah pada paras lutut bermakna si pemakai berstatus sudah berkahwin. Manakala, samping yang digayakan atas paras lutut bermakna si pemakai masih bujang.
Jadi semasa hari pernikahan, pengantin lelaki harusnya pakai samping di atas paras lutut atau di bawah paras lutut? Itu terpulang kepada individu tersebut sebab ianya adalah adat sahaja.
Elok kain benangnya rapat,
Bila rapat aurat tertutup,
Elok pemimpin memegang adat,
Bila beradat selamat hidup.